Afzal berdiri di
saf kedua, yakni betul-betul dibelakang Tok Wan. Apabila Imam mengangkat
takbir, semua para Jemaah juga mengangkat takbir. Afzal masih terpinga-pinga.
Dia hanya mengikut apa yang dilakukan oleh Tok Wan. Ternyata pengetahuan dia
mengenai agama masih lemah. Setelah berdoa, Afzal mendapatkan Tok Wan untuk
bersalam. Mereka berdua duduk di dalam masjid sementara menanti waktu Isya’
pula. Alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan.
Dalam perjalanan
pulang, Tok Wan cuba memecah kesunyian. “Afzal tak pernah langsung solat dekat
UK sana?”. Afzal hanya menggelengkan kepalanya. “Abah atau mama tak pernah
ajar?”. Afzal menganggukkan kepala. “Tapi itu masa kecil dulu la. Lepas tu tak
buat langsung. Terus lupa sampai sekarang”, jawab Afzal. Tok Wan hanya
menggelengkan kepala. Dalam mindanya, dia ternyata kecewa kerana cucunya yang
sudah besar masih tidak tahu asas Islam. Sementara itu, dia turut kecewa dengan
Aleen yang langsung tidak mengambil berat mengenai saham akhirat anaknya.
“Tak mengapa
nak. Sementara kau ada dekat sini, Tok Wan boleh tolong ajar serba serbi
mengenai Islam. Ternyata kau masih lemah, sampai pahala pun tak kenal”, kata
Tok wan dengan nada tegas.
Tok Wan membuka
mangga di selak pintu. Beliau meletakkan kopiah putihnya di atas kabinet. Afzal
pula terus menuju ke dapur untuk meneguk air. Tok Wan duduk di atas sofa yang
bertentangan dengan rak bukunya. Beliau merenung tajam kearah satu kitab.
Sambil mengurut-urut janggutnya, beliau bangun lalu mengambil kitab berkenaan.
Setelah diteliti kandungan buku itu, Tok Wan terus membawa buku itu bersamanya.
“Afzal, lepas
minum nanti datang ke bilik Tok Wan ya”,
kata Tok Wan. Afzal hanya mengangguk kerana mulutnya masih penuh dengan air.
Dia pun bergerak
naik ke tangga. Selepas mengetuk pintu, Afzal mengambil langkah masuk ke dalam
bilik Tok Wan. Afzal ternyata terpegun melihat patung boneka yang menghiasi
dinding bilik itu. Matanya tertarik dengan satu patung boneka yang begitu
cantik. “Kau berminat dengan patung boneka?”, kata Tok Wan Sambil tersenyum.
“Dekat UK tak ada pula patung macam ni, nipis saja. Boleh Afzal pegang?”.
Tok Wan pun
memberi patung boneka berkenaan. Dia membelek-belek patung itu. Afzal masih
terpegun kerana dia tidak pernah melihat patung sedemikian. “Untuk pengetahuan
Afzal, Tok Wan yang buat semua patung boneka ni”, kata Tok Wan.
“Tok Wan yang
buat semua ni? Boleh tak kalau Afzal nak satu?”
“Boleh, tapi
dengan satu syarat”
“Apa syaratnya?”
“Syaratnya ialah
kau kena baca kitab ni”
-Tamat
Bahagian 3-
No comments:
Post a Comment