Afzal mengambil
kitab yang dihulurkan Tok Wan. Afzal membuka helaian pertama kitab itu.
Ternyata dia tidak faham apa yang tertulis dalam kitab itu. “Tapi Tok Wan,
Afzal mana reti baca dalam tulisan jawi ni”, kata Afzal. “Iqra’. Itu merupakan
perkataan pertama yang malaikat Jibril berkata apabila Rasulullah s.a.w tidak
tahu bagaimana hendak membaca utusan Allah”. Afzal hanya terdiam. Dia langsung
tidak faham apa yang cuba disampaikan oleh Tok Wan.
“Tak mengapa
nak. Dalam hidup ni, kita kena sentiasa belajar. Sedangkan masa kecil lagi kita
belajar berjalan, bercakap dan membaca. Tok Wan akan ajar kau sehingga berjaya.
Iqra’ ni sebagai satu permulaan bagi sesuatu yang lebih besar. Kita harus
bermula dari bawah dulu untuk sampai di atas. Sebagai orang muslim, rugi kita
kalau tidak faham isi kandungan Quran. Tak guna kalau baca saja, tapi tak faham
maksud”, jelas Tok Wan. Afzal hanya mengangguk. “Tapi sebelum nak baca Quran,
kita kena faham alif ba ta dulu. Itu gunanya kau belajar Iqra’ tu”, tambah Tok
Wan.
Seperti yang
diinginkan oleh Tok Wan, Afzal akur. Dia menggenggam Iqra’ itu dan berjanji
pada dirinya sendiri bahawa dia akan khatam Iqra’.
“Boleh kita mula
sekarang?”, tanya Afzal. Tok Wan tersenyum lebar lalu mengangguk tanda setuju.
Maka bermulalah
satu permulaan baru bagi diri Afzal. Remaja yang tidak mendapat didikan agama
di England itu kini telah menerima sesuatu ilmu yang baru dalam hidupnya. Jika
selama ini dia tidak pernah tahu mengenai alif ba ta, hari ini dia berjaya
khatam Iqra’ pertama. Tok Wan juga gembira kerana cucunya itu terbuka hati
untuk mempelajari Iqra’. Beliau berniat untuk memenuhi minda Afzal yang kosong
itu dengan ilmu agama yang lebih mendalam. Sambil-sambil mengajar, beliau turut
memikirkan apa yang harus dilakukan untuk menarik minat remaja itu untuk
mendalami ilmu Islam.
“Alhamdulillah,
kau dah boleh baca sikit-sikit. Perjalanan masih panjang. Kitab ni pun tebal
lagi. Tapi tak mengapa, kalau niat kita ikhlas menuntut ilmu, insha Allah
dipermudahkan oleh Allah”, kata Tok Wan sambil melipat rehal Quran dan
meletakkan kembali di bawah katilnya.
Afzal pun
mengangguk sebelum bersalam dengan Tok Wan. Dia mengangkat kaki bersama-sama
dengan Iqra’ lalu beredar dari bilik. Setelah semalaman mengaji, Afzal kembali
ke biliknya untuk tidur. “Kenapa aku tak pernah belajar semua ni? Adakah sebab
di UK tak ada orang yang sanggup mengajar seperti Tok Wan?”, kata Afzal
seorang diri.
Sudah hampir
seminggu Afzal berada di kampung. Tepat pukul enam, Afzal dikejutkan oleh Tok
Wan untuk mengerjakan solat subuh. “Nak ikut Tok Wan menoreh getah tak?”, tanya
Tok Wan. Afzal menggelengkan kepalanya. Apa yang difikirkannya ketika ini ialah
untuk kembali baring di katil yang empuk dan meneruskan permainannya dalam
mimpi. “Tak elok tidur selepas subuh nak, rezeki tak masuk nanti. Kalau tak nak
ikut Tok Wan pergi ladang, cari la sesuatu yang bermanfaat untuk dibuat waktu
ni”, kata Tok Wan sebelum menutup pintu rumah. Afzal terbaring di atas sejadah.
Dia tidak menghiraukan apa yang Tok Wan katakan.
-Tamat Bahagian 4-
No comments:
Post a Comment