Matahari sudah
sembilan puluh darjah menegak. Kucing-kucing yang berkeliaran pagi tadi sudah
lena diulit nasi bertumbukkan ikan kembung. Afzal yang sudah mandi mengusap
perutnya yang berkeroncong untuk disajikan hidangan. Dia membuka tudung saji,
namun hampa kerana tiada apa-apa. Tok Wan masih belum pulang. Mungkin dia letih
sangat sehinggakan tertidur di pokok getah. Eh, mana mungkin. Habis disondol
babi hutan. Atau mungkin dia jumpa sahabat-sahabat karibnya di warung kedai
kopi tak jauh dari masjid itu. “Laparnya perut,” getus hati Afzal.
Baru saja Afzal
hendak keluar rumah, deruman motor Honda Ex 5 sudah kedengaran. Tok Wan turun
dari motornya sambil membawa bekal pulang. “Tok Wan tunggu kau di warung, tapi
kau tak muncul-muncul. Ni mesti baru bangun tidur kan?” kata Tok Wan sambil
menghulurkan bungkusan nasi campur. Afzal hanya tersengih.
Sambil Afzal
menikmati makanan tengah harinya, Tok Wan mula membuka cerita. “Kalau kau nak
tahu, Tok Wan memang aktif buat pementasan wayang kulit. Patung-patung yang ada
dalam rumah ni semua Tok Wan yang buat. Mak kau pun arwah Mak Wan yang ajarkan.
Dia pun selalu tolong Tok Wan buat pementasan masa dia kecil-kecil dulu”.
Afzal mendengar
dengan teliti setiap perkataan yang keluar daripada mulut Tok Wannya. Dia
sendiri tidak menyangka mamanya mempunyai pengetahuan dalam wayang kulit. “Untuk
jadi seorang dalang, kita harus mempunyai pelbagai ilmu pengetahuan. Benda ni penting untuk kita
kaitkan dengan isu semasa”, tambahnya lagi.
“Dalang tu apa
Tok Wan?”
“Dalang ialah
pengarah, penulis cerita dan yang memainkan watak dalam wayang kulit. Senang
kata, semua pementasan ni kerja dalang. Sebab itu Tok Wan kata kena ada
pengetahuan yang tinggi untuk menghasilkan jalan cerita yang baik. Watak-watak
penting yang kita guna dalam wayang kulit biasanya Hanuman, Sri Rama, Sita
Dewi, Maharaja Rawana dan Laksamana.”
Setelah
mendengar dengan teliti setiap perincian, barulah Afzal mengerti apa makna
disebalik patung boneka itu. Patung boneka itu ternyata luar biasa serta
mempunyai nilai sentimen tersendiri. “Tok Wan, sekarang Tok Wan masih lagi main
wayang kulit?” tanya Afzal. Air muka Tok Wan terus berubah.
“Sekarang tidak
lagi”
“Tapi kenapa?”
“Sekarang Tok
Wan dah tak ada anak dalang. Dulu mama kau yang rajin bantu Tok Wan. Lagipun,
siapa nak tonton wayang kulit lagi? Zaman sudah berubah nak. Semua orang akan
ke sinema dan menonton filem-filem barat yang ternyata banyak merosakkan akidah
anak bangsa kita. Filem Melayu pun sudah terikut-ikut rentak mereka,” katanya
dengan kesal.
-Tamat Bahagian 5-
No comments:
Post a Comment