© & ® Deedracula. Do not reproduce, respect the copyrights.

Cerpen: Kerana Tin Sardin


"Lora, oh Lora..." Manalah pula pergi Lora ni? Selalunya waktu-waktu macam ni dia dah balik rumah. Nak kata dia main dengan kawan-kawannya, tak ada pun. Aku terus mencari di taman permainan, namun kecewa. Semua kanak-kanak yang selalu bergelak ketawa di taman permainan itu sudah menuju ke pintu besar untuk pulang. 

Aku melihat jam. Hampir pukul tujuh petang. Di manakah Lora? Selalunya pukul enam setengah dia sudah pulang. Ibu pun dah hidangkan makan malam.

Aku duduk sebentar di bangku taman. Sekejap toleh ke kiri, sekejap ke kanan. Aku terus memerhati sekeliling. 

"Kakak, kenapa Lora tak balik lagi? Bukan sepatutnya waktu ni dia dah duduk dekat dapur ke?"

"Eh dia tak balik lagi?"

"Kakak boleh tolong carikan dia?"

"Mak, kakak baru balik kerja ni. Kakak penat la."

Tiba-tiba aku teringatkan perbualan dengan ibu sebentar tadi. Aku lihat wajah mak sangat hampa. Disebabkan itu aku keluar mencari Lora juga walaupun penat. Hendak bandingkan penat aku dengan mak, ternyata mak lebih penat. 9 bulan mengendong aku kehulu kehilir.

Dengan langkah kanan, aku terus mencari Lora. Hatiku rasa tidak tenang pula. Aku sudah mula membayangkan benda yang bukan-bukan berlaku kepadanya. Ya Allah, kuatkan hambaMu ini.

Kawasan perumahan aku juga sering berlaku kejadian tak diingini. Aku tidak berani untuk melalui kawasan belakang rumah. Maghrib pun sudah hampir memeluk ruang angkasa. Aku hanya lalu di kawasan terbuka. Tiba-tiba aku berjumpa dengan Azreen, jiran tiga pintu dari rumah aku.

"Azreen, ada nampak Lora tak?"

"Tak ada pulak kak Emma."

Hampa. Aku terus bersandar di tiang lampu lalu terduduk di atas tempat pejalan kaki. Sudah hampir tujuh setengah petang, masih tiada tanda Lora. Aku mencapai telefon bimbit dalam poket seluarku. Terpapar wajah Lora di background. Pipiku dibasahi air mata. Lora, pulanglah Lora. Kami rindu awak.

Sedang aku cuba menahan air mata, seekor kucing lalu dihadapan aku. Aku kenal benar dengan kucing ini. Dia ni selalu main dengan Lora dekat depan rumah. Aku cuba untuk mendukungnya namun dia merebahkan badan dan lari. Aku yang sememangnya geram dengan kucing terus mengejarnya. Azreen turut serta disebelahku.

Kucing itu terus menuju ke belakang lorong rumah. Aku berhenti lari. Tercungap-cungap mencari nafas semula. Sudah lama tidak lari sebegini.

"Azreen! Jangan pergi belakang, bahaya!" Aku teriak melihat Azreen terus mengejar kucing itu. Budak berumur 8 tahun itu langsung tidak mengendahkan aku. Mengenangkan keselamatannya, aku kembali mengekori di belakang. 

Kawasan belakang ini sememangnya penuh dengan semak. Habis seluar aku dicium kemuncup. Aku sudah tidak nampak Azreen kerana ranting-ranting pokok yang menjalar panjang. Jiran-jiran aku langsung tidak menjaga lorong ni dengan baik. Harap-harap Azreen ada di depan.

Azreen berhenti dihadapan sebuah kotak. Aku terus mencapai tangannya. Berdebar hati aku menempuhi kawasan yang jarang sekali aku jejaki itu. 

"Azreen! Bahaya tahu tak? Awak buat kak Emma risau je"

"Kak Emma, Azreen dah jumpa Lora."

"Hah, mana?"

Dia menghampiri semula kotak itu. Aku juga melangkah tiga tapak kehadapan. Alangkah terkejutnya apabila aku lihat Lora ada didalam kotak itu bersama-sama dengan kucing tadi. Aku terus mendapatkan Lora lalu mendakapnya. Setelah hampir sejam hilang, akhirnya aku di satukan semula dengan kucingku, Lora.

Aku sangat bersyukur kerana semua penat lelahku berbaloi. Namun, aku sangat berterima kasih kepada Azreen yang turut membantu secara tidak sengaja. Azreen kemudian mendukung kucing dalam kotak itu. 

"Kak Emma, Azreen nak bawa balik kucing ni boleh?"

"Mak Azreen tak marah ke Azreen bela kucing?"

"Eh, dia memang suka kucing."

Aku merenung kucing itu. Masih ingat dahulu ketika balik kerja, dia mengekoriku. Dia menyondol-nyondol badannya sambil memiau meminta makanan. Aku yang tidak sampai hati melihatnya kelaparan singgah di kedai runcit dan membeli tin sardin memandangkan tiada makanan kucing dijual.

Apa yang signifikannya, dia seolah-olah cuba membalas jasa aku kembali dengan menunjukkan tempat Lora berada. Sesungguhnya Allah Maha Adil. Terima Kasih Ya Allah. 

***

Abu Hurairah RA meriwayatkan;


بَيْنَمَا كَلْبٌ يُطِيفُ بِرَكِيَّةٍ كَادَ يَقْتُلُهُ الْعَطَشُ إِذْ رَأَتْهُ بَغِيٌّ مِنْ بَغَايَا بَنِي إِسْرَائِيلَ فَنَزَعَتْ مُوقَهَا فَسَقَتْهُ فَغُفِرَ لَهَا بِهِ.

Ketika seekor anjing berpusing mengelilingi sebuah perigi dan hampir mati kerana dahaga, seorang pelacur daripada suku Bani Israil melihatnya. Lalu dia menanggalkan kasutnya dan memberi anjing tersebut minum dengannya. Maka Allah mengampunkan dia kerana perbuatannya itu. [Shahih al-Bukhari – no: 3467]